Monday, August 2, 2010

PUSAT KHIDMAT KOMUNITI MTD GUAI DI BUKA


Pusat Khidmat Komuniti MTD Guai telah dibuka pada 29hb Julai 2010 dengan mengadakan solat maghrib bersama dan seterusnya bermesyuarat MTD sehingga jam 9.30 malam.


Pada malam tersebut diadakan taklimat program ekonomi yang disampaikan oleh Sdr Arman dan Sdr Akmal dari Kuantan.


Sila hubungi 09-2507892 atau 017-9321911 ( Sdr Kamarul ) untuk sebarang urusan.
Manakala kepada para dermawan pejabat ini masih lagi memerlukan sumbangan untuk membeli peralatan pejabat dan ubahsuai bilik gerakkan serta bilik pentadbiran. Nombor akaun untuk sumbangan atau infaq ialah 06210003223529 ( CIMB Bera ).

Thursday, February 25, 2010

Program Pengarah di Felda Kumai


Hampir 90 ahli PAS hadir ke program penerangan Pengarah MTD Guai di Felda Kumai baru-baru ini.
Ahli-ahli di Felda Kumai telah di dedahkan kepentingan tiga asas utama bagi memungkin kemenangan dalam PRU 13 nanti. Iaitu petugas yang berilmu, persediaan kewangan yang cukup dan bilangan pengundi yang mencukupi.

Sunday, January 31, 2010

Senaman untuk kesihatan fizikal dan mental



Sebagai personel yang menggerakkan Gerakan Islam, apatah lagi dalam mencapai apa yang dikatakan ISLAM DIDAULATKAN, maka beberapa kekurangan ini perlu diperbaiki
1. Mementingkan diri sendiri
2. Tabiat tidak seimbang
3. Pemikiran yang sempit
4. Membuat keputusan yang lemah
Pelbagai cara boleh digunakan untuk mengatasi empat perkara tersebut di antaranya ialah
1. Perlu ada keputusan hasil perbincangan dan terus laksanakan
2. Individu yang terlibat perlu sihat fizikal dan mental
3. Sentiasa amalkan muhasabah diri
4. Hormati pandangan lain ( Ingat bukan kita sahaja ada pandangan )
5. Sentiasa memberi peluang kepada sahabat untuk memberi pendapat dan teguran

Sunday, January 10, 2010

Setelah bubar, kini LKWJ dan Dara diminta dihidup kembali

Kerajaan Negeri Pahang ternyata melakukan kesilapan besar apabila tidak membantah pembubaran dua agensi pembangunan Persekutuan, Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) dan Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (Dara) pada tahun 2000 kerana pembubaran kedua-duanya mengakibatkan kawasan yang berada di bawahnya selama ini menjadi terabai.
Bukan itu sahaja, pelbagai projek pembangunan sosial dan ekonomi setempat kini kurang diberi perhatian, Lebih menyedihkan, perancangan kemajuan bandar yang dirancang sekitar tahun 1980-an terbantut. Contoh jelas ialah Bandar Jengka yang yang kelihatan tidak terurus dan ceria berbanding semasa kewujudan LKWJ.
Semua ini menjadi rungutan ramai terutama kawasan-kawasan terlibat. Ini disebabkan dua syarikat yang menggantikan peranan dua agensi pembangunan wilayah itu jauh daripada yang diharapkan.
Selain daripada itu, Pahang dikatakan kerugian RM2.48 bilion selepas pembubaran Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (Dara), Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) dan satu lagi agensi Persekutuan, Projek Bersepadu Pembangunan Pertanian (IADP) berdasarkan peruntukan tahunan yang diperoleh daripada ketiga-tiga agensi itu bagi melaksanakan pelbagai projek di kawasan Jengka, Pahang Barat dan Pahang Tenggara sehingga menyebabkan banyak projek yang dirancang dan sedang dilaksanakan ketika itu terbengkalai.
LKWJ ditubuhkan di bawah Akta 285, Akta Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka pada tahun 1983 dengan mengambilalih Perbadanan Kemajuan Jengka, iaitu sebuah Perbadanan Negeri yang ditubuhkan pada tahun 1971 bertujuan memesatkan lagi pembangunan kawasan Jengka. Pembangunan LKWJ dibuat berdasarkan kepada Pelan Indikatif yang memberi penekanan kepada Pembangunan Bandar Jengka dan pembangunan in-situ bagi kawasan yang tidak termasuk kawasan FELDA. Wilayah LKWJ terletak dalam empat Daerah iaitu Maran, Jerantut, Temerloh dan Bera dengan keluasan 196,728 hektar.
Dara pula ditubuhkan di bawah Akta 68, Akta Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara 1972 untuk menerajui strategi pembangunan secara bersepadu melalui pendekatan pembukaan hutan belantara berpandukan pelan induk yang telah digubalkan oleh Kerajaan. Penekanan diberikan kepada usaha-usaha untuk mengeksploitasi sumber, penyedian rangkaian perhubungan dan pembangunan pusat-pusat pertumbuhan dan bandar-bandar baru yang lengkap dan moden. Wilayah DARA terletak dalam empat Daerah iaitu Rompin, Pekan, Bera dan Maran dengan keluasan 1,002,197 hektar.
Sejak itu, kedua-dua agensi berkenaan bertindak memaju, menggalak, membantu dan mengusahakan pembangunan ekonomi dan sosial bagi memastikan pemodenan sektor pertanian di Kawasan LKWJ, perusahaan dan perdagangan selain mengawal dan menyelaraskan pelaksanaan segala aktiviti.
Dengan dasar penswastaan yang diperkenalkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamed pada ketika itu, Kerajaan Pusat mengambil keputusan membubarkan dua agensi berkenaan. Sedangkan kemampuan dan tahap kesediaan di kalangan Kerajaan Negeri dari segi kewangan dan tenaga kerja untuk membangunkan kawasan masing-masing masih belum bersedia.
Dua agensi tersebut kemudiannya dibubarkan pada 2 Oktober 2000. Kerajaan seterusnya menetapkan supaya LKWJ diswastakan kepada Warisan Jengka Holdings (M) Sdn Bhd. Ekuitinya terdiri daripada Wawasan Jengka (51%), Keska Corporation (10%) dan Yayasan Basmi Kemiskinan (mewakili kerajaan negeri – 39%).
Sementara Dara pula diswasta kepada Teras Dara Konsortium (TDK). Namun ternyata kini kedua badan swasta itu tidak dapat memainkan peranan mereka dengan berkesan gagal mencapai objektif diharapkan.
Sedangkan Kerajaan Negeri Pahang mempunyai pilihan untuk memohon tidak dibubarkan agensi-agensi berkenaan seperti di negeri-negeri lain. Umpamanya Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di Kelantan, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dikekalkan hingga ke hari ini.
Yang menjadi persoalan kepada umum, apakah yang ada dalam pemikiran pemimpin kerajaan negeri pada ketika itu sehingga ‘merelakan’ pembubaran agensi-agensi tersebut sedangkan mereka sepatutnya lebih memahami dan amat menyedari bahawa negeri Pahang yang luas ini bukannya kaya untuk memajukan kawasan-kawasan berkenaan jika tidak dengan bantuan Kerajaan Pusat.
Mengulas isu berkenaan, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Kerajaan Negeri nyata tidak teliti dalam melaksanakan sebarang keputusan. Baginya, Pahang sebuah negeri yang besar memerlukan agensi seperti LKWJ dan Dara bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan fizikal, sosial dan ekonomi di kawasan yang kurang diberi perhatian.
Mengenai pemimpin dari kalangan kerajaan sendiri yang mahukan kerajaan Pusat mewujudkan semula LKWJ dan Dara bagi mengurus pembangunan di kawasan yang telah tertinggal selama ini, Tuan Ibrahim berkata keperluannya dianggap mendesak kerana syarikat swasta telah gagal mengambil alih peranan agensi berkenaan.
“Bila dah kritikal dan gagal membangunkan keperluan rakyat barulah pemimpin kerajaan terhegeh-hegeh meminta agensi yang sudah bubar dikembalikan. Kita bersetuju tetapi inilah gambaran betapa tidak telitinya pihak kerajaan negeri sebelum melaksanakan sesuatu pembangunan”.
“Ketika swasta dulu banyak aset seperti tanah dilupuskan untuk kepentingan syarikat. Bila sudah kritikal kini mereka mahukan kerajaan ambil alih, dengan makna kegagalan itu mahu dikembalikan kepada rakyat untuk menanggungnya”.
“Dari segi perkhidmatan juga gagal. Saya ambil contoh masalah di Bandar Jengka yang dulu di bawah LKWJ, sekarang ini berada di bawah pentadbiran Majlis Daerah Maran. Masalah kebajikan rakyat seperti seperti rumput yang tidak berpotong, penyelenggaraan sampah yang teruk dan sebaginya. Semuanya melambangkan kegagalan,” katanya.
Sementara itu, bekas Pengurus Bahagian Teknikal LKWJ, Musaniff Abdul Rahman menyifatkan pembubaran agensi berkenaan memberi kesan jangka panjang terhadap kemajuan bandar dan projek pembangunan yang dirancang oleh agensi terbabit sekitar tahun 1980-an.
''Saya sedih dengan pembangunan Bandar Tun Abdul Razak Jengka yang kelihatan tidak terurus berbanding semasa LKWJ masih wujud. Begitu juga dengan projek yang terbantut akibat pembubaran, seperti jalan Tanjung Batu yang sepatutnya tembus ke Lubuk Paku putus separuh jalan."
“Saya diberitahu suara-suara rakyat negeri ini terutama di kawasan terlibat mahukan agensi pembangunan wilayah tersebut dihidupkan semula sebagai sebuah agensi. Kalau nak diikutkan, Bera merupakan interseksi kepada LKWJ dan Dara dan sepatutnya boleh membangun dengan pantas. Malah daerah Bera dirancang kewujudannya bagi menampung kemajuan itu. Malangnya dengan pembubaran dua agensi itu, daerah Bera terus mundur”.
Menurut Musaniff, walaupun ada ura-ura persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung penyaluran semula peruntukan tahunan melalui dana khas bagi membangunkan semula kawasan tersebut mulai tahun depan itu akan disalurkan menerusi Majlis Daerah Maran dan Majlis Daerah Rompin, ia tidak akan menyamai.
"Sekitar RM25 juta setahun geran peruntukan dari Pusat akan dimasukkan ke Majlis daerah di kawasan berkenaan tetapi saya rasa tidak mampu untuk menjalankan fungsi seperti dijalankan LKWJ dan Dara kerana peranan agensi lebih luas iaitu menjana pembangunan seimbang di Pahang, ini mustahil dapat dilakukan oleh majlis daerah.”
~ sumber sidangonline

Friday, December 11, 2009

Penyerahan Cek dan penyampaian “Harapan Tertinggi”


Pengarah MTD Guai menyerahkan sekeping cek kepada wasi kepada arwah Misnin dan isterinya di Felda Mayam, Bera. Kedua-duanya telah menyertai program takaful berkelompok khairat kematian ( Ajam ) Pakatan Amal Sejagat meninggal dunia selang seminggu di bulan Ramadhan baru-baru ini.

Selain menyerahkan cek bernilai RM 5,600.00 ( RM 2,000.00 telah diserahkan dahulu sebagai membantu urusan pengebumian dan lain-lain ), Pengarah MTD sempat menyampaikan ‘ Harapan Tertinggi Arwah ‘ dalam bentuk lisan dan bercetak. Menurut wakil keluarga , mereka semua akan melaksanakan harapan tertinggi arwah tersebut.

Diantara ayat -ayat yang dicatatkan di dalam harapan tertinggi arwah berbunyi ,

………“ Aku juga berpesan kepada kalian semua agar bertaqwalah kepada Allah, Tuhan yang menciptakan kita semua. Dialah juga yang akan mematikan kita nanti. Kerjakan solat dan taatilah Allah di mana kalian berada. Tinggalkan kejahatan dan kemaksiatan kerana ia bukan sahaja dimurkai Allah tetapi dibenci juga oleh manusia. Ingatlah, sekali kalian meninggalkan solat dan kewajipan yang lain serta melakukan kemaksiatan pada Tuhan, di kala itu aku juga diseksa di persemadian.”………….

……” Alangkah gembiranya aku bila harta yang telah kalian miliki itu digunakan sedikit untuk kebajikan dan bersedekah bagi pihak diriku. Janganlah kalian gunakan peninggalan ku ini untuk berbuat maksiat. Kelak,aku juga akan terseksa.”..

Kepada sesiapa yang berminat menyertaikan program takaful ini boleh menghubungi Pakatan Amal Sejagat ( Agen Korporat Etiqa Takaful ) di talian 019-9378487 ( Musaniff ).

Tuesday, December 1, 2009

Merempong dan melapah



Merempong,

Bermakna kerja-kerja mengikat lembu untuk disembelih. Kena pastikan lembu itu diikat dengan kemas bagi memudahkan kerja penyembelihan. Sebelum disembelih kepala lembu perlu berada disebelah kiri dan menghadap ke kiblat.
Sembelihlah menggunakan parang yang tajam. Kalau mengikut petua untuk tiada lalat dan daging tidak berbau, pisau sembelihan hendaklah dilepaskan selepas menyembelih (yakni tidak melintasi badan lembu ).
Melapah,
Kerja memisahkan kulit luar lembu dengan dagingnya. Kerja ini perlu menggunakan pisau yang tajam matanya. Kerja ini juga kena berhati-hati kalau tidak akan terpotong daging kasih. Daging kasih ialah daging yang melekat kuat pada kulit.
Kadang-kadang daging kasih ini terpaksa dipotong juga.

Tuesday, November 24, 2009

Mesyuarat MTD putuskan laksana 6 gerak berkesan


Mesyuarat MTD yang diadakan pada 22hb Nov 2009 lalu telah memutuskan agar semua UPU melaksanakan enam gerak berkesan.
Pengarah MTD, Musaniff telah mempergerusikan mesyuarat tersebut dan dihadiri oleh 8 UPU daripada 12 yang dijemput.
Setiap UPU diwakili oleh Ketua dan Setiausaha. Semuanya bersetuju melaksanakan 6 gerak berkesan bagi menghadapi PRU 13. Pada tahap 1, program ini akan bermula bulan November ini dan akan berakhir bulan Jun 2010.

Monday, November 2, 2009

Kenduri kesyukuran di Masjid Mengkarak

Kelihatan Pengarah MTD Guai sedang menikmati makanan.

Kenduri kesyukuran di Masjid Mengkarak diadakan kerana warga kampong bakal menunaikan haji pada tahun ini.

Turut hadir sama Ust Sulaiman, YB Norul Azali, YB Saifuddin, Tok Empat kampong-kampong berdekatan.

Musaniff sempat bersembang dengan YB Norul dan mengambil kesempatan menyampaikan hasrat penduduk Kg Guai dan sekitarnya agar beliau bersungguh-sungguh mengusahakan projek jambatan yang menghubungkan ke Kg Guai yang merintangi Sungai Pahang dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Sunday, October 18, 2009

Ijtimak MTD Guai capai matlamat



Seramai hampir 40 orang peserta telah hadir di ijtimak MTD Guai, baru-baru ini. Perasmian penutup telah disempurnakan oleh YH Dato Tuan Ibrahim Tuan Man, Pesuruhjaya PAS Pahang. Dengan menyasarkan 5 orang setiap UPU di dalam DUN Guai ( 11 UPU aktif ) untuk hadir, maka program Ijtimak kali pertama itu mencapai matlamatnya.


Tiga kertas kerja telah dibentangkan. Semuanya berkisar memperkukuhkan UPU bagi menghadapi PRU 13. Menurut Pengarah MTD Guai ( Musaniff ), kita telah menjumpai formula untuk merampas kembali DUN Guai di pilihanraya yang akan datang. Apakah formula itu? Formulanya ialah H,A dan K ujar Musaniff

Thursday, October 8, 2009

Program Ijtmak dan ceramah di Darul Ikhwan


AJK MTD Guai menganjurkan dua program pada 15 Okt 2009


Aturcara:


15 Okt 2009


8.00pg hingga 4.00ptg - Ijtimak MTD Guai

4.00ptg hingga 4.30ptg - Perasmian penutup oleh YH Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

5.30ptg hingga 6.30ptg - Perjumpaan tertutup YH Dato' PJ dengan AJK PAS Kawasan Bera


9.30mlm hingga 12.00mlm - Ceramah


Untuk program ceramah pada malam itu YH Dato' Tuan Ibrahim akan melancarkan dana Pilihanraya MTD Guai dan orang ramai dijemput hadir.

Monday, October 5, 2009

Menyiang Daging










Gotong royong siang daging untuk jamuan Aidil Fitri PAS Bera. Kelihatan pengarah MTD Guai dan YDP Kawasan Bera bersama para ahli gotong royong. Amalan yang baik dan eloklah diteruskan.









Pada hari tersebut 100 kilo daging dingin beku siap disiang dan seterusnya di masak. Memang amat ketara suasana mesra dan gembira para ahli gotong royong. Ahli gotong royong terdiri dari pelbagai peringkat umur dan dari kalangan penduduk kampong berdekatan.

Friday, September 18, 2009

Salam Aidil Fitri


Salam Aidil Fitri daripada Pengarah MTD Guai serta keluarga. Maaf di atas segala keterlanjuran zahir dan batin.
Sudilah berkunjung ke rumah beliau pada hari raya ke-2, di alamat N0.4 Taman Cempaka Indah, 28200 Bandar Bera.
Pagi Hari raya pertama bersama bonda serta adik beradik solat sunat aidilfitri di Bandar Jengka.
Petang Hari raya pertama ziarah sanak saudara di Kg Guai, Kg Bkt Keledang dan Kg Sri Buntar.
Pengarah mengharapkan agar puasa yang telah kita lalui menjadi medan latihan kepada kita mengekalkan personaliti sebagai insan yang bertakwa sehingga akhir hayat.

Thursday, September 17, 2009

Gambar sekitar program Iftar di upu-upu DUN Guai































Gambar sekitar program Iftar , sumbangan khairat kematian dan sumbangan sekampit
beras sekilo gula bersama Pengarah MTD Guai yang sempat di rakam.

























































































































Friday, September 4, 2009

Iftar di Madrasah Al Huda Kg. Padang Luas

Pengarah MTD berkesempatan hadir program iftar, solat maghrib, solat isyak dan terawih di Madrasah Al Huda Kg. Padang Luas.

Turut sama SU MTD, Ketua Dewan Pemuda kawasan dan beberapa orang AJK kawasan.

YDP selaku mudir madrasah telah mengimami solat. Tazkirah oleh YDP , Ust Sulaiman pada malam itu berkaitan cerita manusia akan meniti titian sirat selama 3000 tahun akhirat. Ini adalah untuk manusia yang terlalu sedikit imannya, tetapi bagi yang imannya cemerlang ia bagaikan pantas seperti kilat. Dalam tazkirah itu digambarkan macamana Allah mendatangkan bayangan pohon dan air di tengah-tengah perjalanan yang panas lagi jauh.




Ikutilah isi tazkirah ini di siri akan datang insyallah.....

Saturday, August 29, 2009

JADUAL IFTAR ( MAJLIS BERBUKA PUASA ) PENGARAH MTD

Mesyuarat MTD GUAI telah bersetuju agar Pengarah MTD turun bersama ahli serta orang ramai dalam majlis berbuka puasa anjuran cawangan – cawangan PAS dalam DUN Guai.

Selain bersama majlis berbuka puasa , Pengarah MTD juga akan menunaikan solat terawih di tempat sama atau surau/masjid yang berhampiran.

Tempat dan tarikh yang telah dipersetujui ialah,

26 Ogos 2009 (5 R’dhan - Rabu ) Surau Kg Bohor Baru
27 Ogos 2009 ( 6 R’dhan – Khamis ) Surau Pondok Bukit Keledang
30 Ogos 2009 ( 9 R’dhan – Ahad ) Kg Guai
1 Sept 2009 ( 11 R’dhan – Selasa ) Kg Mengkarak
2 Sept 2009 ( 12 R’dhan – Rabu ) Felda Kumai ( Pinda ke 7 Sept 2009 )
3 Sept 2009 ( 13 R’dhan – Khamis ) Kg Padang Luas
8 Sept 2009 ( 18 R’dhan – Selasa ) Felda Purun
9 Sept 2009 ( 19 R’dhan – Rabu ) Sri Buntar
10 Sept 2009 ( 20 R’dhan – Khamis ) Felda Mayam ( Pinda ke 2 Sept 2009 )
14 Sept 2009 ( 24 R’dhan – Isnin ) Dewan Darul Ikhwan, Mengkarak
15 Sept 2009 ( 25 R’dhan – Selasa ) Kg Charuk Putting
16 Sept 2009 ( 26 R’dhan – Rabu ) Felda Bkt Kepayang

Bersamalah kita menghidupkan Ramadhan dengan perkara-perkara yang tuntut oleh Allah swt. Diantara perkara yang dituntut ialah menunaikan solat lima waktu, berpuasa, solat sunat terawih, membaca dan tadarus Al Quran, bersedekah, mengeluarkan zakat, menganjurkan majlis berbuka puasa, tazkirah, ceramah dan lain-lain.

Friday, August 28, 2009

IFTAR DAN SUMBANGAN DI BOHOR


Pengarah MTD Guai dan YDP Kawasan Bera berkesempatan dalam majlis berbuka puasa ( IFTAR ) dan menyampaikan sumbangan di Surau Kg Bohor Baru pada 26 Ogos 2009 baru-baru ini.

Friday, August 21, 2009

Anak Peneroka buka kedai

Anak peneroka Felda Purun buka kedai kad dan perkakasan talipon mudah alih di Laman Kerayong. Beliau bersama kakaknya yang mengusahakan kedai menjahit pakaian di No.4 Jalan Kerayong 1, Laman Kerayong, Bandar Bera. ( Berhadapan dengan Pejabat PAS Kawasan Bera )
Perlancaran kedai berkenaan disempurnakan oleh YDP PAS Kawasan Bera Ust Sulaiman bin Mohamad.


Warga MTD Guai mendoakan agar Sdr Kamarul dan kakaknya serta keluarga mereka beroleh kesejahteraan dalam kehidupan dan berjaya dalam perniagaan.

Monday, August 17, 2009

Pengarah MTD Guai bersama SN Pak Samad



Pengarah MTD Guai mengambil kesempatan bergambar beramai-ramai dengan SN A.Samad Said. Turut bergambar bersama ialah isteri SN Pak Samad dan Ketua Penerangan PAS Pahang Sdr Hasanuddin Salim, Pegawai Media Pahang Sdr Hashim Abdullah dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Kuala Krau, Tn Haji Abd Aziz bin Abdul Rahman.

Gambar dirakam di Darul Hikmah Kerdau selepas Pak Samad menyampaikan ceramah di Kompleks PAS Pahang pada 16 Ogos 2009 lalu.

Monday, August 10, 2009

Naib Presiden PAS ziarah mangsa Himpunan ISA


YB Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS sempat berkunjung ke Bera dan menziarahi Sdr Abd Malik di Kampong Kuala Triang yang cedera di kedua-dua buku lali di sebelah petang sebelum menunaikan undangan ceramah PAS kawasan Temerloh pada sebelah malamnya.

Sdr Abd Malik tidak boleh berjalan kerana kedua tumit dan buku lalinya cedera. Beliau terjatuh semasa menyelamatkan diri dari tembakan gas dan meriam air berasid pihak polisfru semasa menyertai himpunan aman membantah akta ISA 1 Ogos 2009 lalu.

YB Salahuddin juga turut menyumbangkan sumbangan peribadinya semasa lawatan tersebut. Turut bersama dalam lawatan ziarah serta memberi sumbangan ialah YDP PAS Kawasan ( Ust Sulaiman ), Bendahari PAS Pahang ( Sdr Musaniff ), Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pahang ( Sdr Shahrul ) , AJK PAS Kawasan Bera dan AJK PAS UPU Kuala Triang.

Sunday, August 9, 2009

Waris Peserta Takaful Etiqa terima manafat


Waris peserta yang menyertai Takaful Etiqa pelan Amal Jamaie anjuran Badan Perhubungan PAS Pahang / Pakatan Amal Sejagat menerima baki manafat berjumlah
RM 2,800.00 daripada Yang Dipertua PAS Kawasan Bera, Ust Sulaiman bin Mohamad. Sebelum ini RM1,000.00 wang khairat telah diserahkan.

Sehingga kini hampir 15,000 orang peserta telah menyertai ketiga-tiga pelan yang dikemukakan oleh BPPNP/Pakatan Amal Sejagat iaitu Amal Jamaie, Amal Jamaie Warga Emas dan Al Ansar. Bagi setiap pelan cuma RM10.00,RM25.00 dan RM65.00 sumbangan tahunan perlu dicarum. Manakala manafat adalah RM 3,800.00,RM 3,000.00 dan RM 19,000.00.

Sesiapa saja yang berumur 18 tahun hingga 65 tahun boleh menyertai pelan Amal Jamaie dan Al Ansar. Manakala untuk pelan Amal Jamaie Warga Emas ialah 66 tahun hingga 80 tahun.

Kepada sesiapa yang berminat boleh hubungi agen daerah Bera iaitu Sdr Saha (019-966509),Sdr Abdullah (019-9509510) dan Sdr Musaniff ( 019-9378487 ).